Cari formula supaya pekerja tidak ‘lari’ selepas ikuti latihan kemahiran – Kula Segaran

Cari formula supaya pekerja tidak 'lari' selepas ikuti latihan kemahiran - Kula Segaran
Kula Segaran mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan, di Putrajaya, pada Isnin. Astro AWANI

Majikan disaran mewujudkan perjanjian bagi memastikan pekerja tidak meninggalkan syarikat selepas menjalani latihan bagi meningkatkan kemahiran diri.

Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran berkata perlu ada formula bagi ‘mengikat’ pekerja untuk jangka masa tertentu supaya prestasi sesebuah syarikat tidak terjejas selepas menghantar pekerja mengikuti latihan kemahiran.

“Setengah majikan beritahu saya, mereka tidak mahu menghantar pekerja mendapatkan latihan kerana apabila mereka pulang, gaji perlu dinaikkan dan ada juga yang akan berhenti kerja selepas dihantar menjalani latihan kemahiran industri.

“Saya beri cadangan supaya majikan perlu menandatangani perjanjian dengan pekerja. Jika pekerja dihantar menjalani latihan, mereka perlu datang semula kepada syarikat untuk berkhidmat, umpama ‘mengikat’ pekerja selepas diberi latihan.

“Amat menyedihkan buat majikan jika pekerja meninggalkan syarikat selepas dihantar mendapatkan latihan, kerana ia akan menjejaskan perniagaan dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan, di sini, hari ini.

Menurutnya, formula kerajaan yang menaja pelajar mendapat pengajian luar negara boleh digunapakai pihak majikan untuk memastikan pekerja mereka ‘setia’ untuk terus berkhidmat

Dalam pada itu, Kula Segaran turut menekankan mengenai kepentingan memacu dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara bagi meningkatkan kemahiran (up-skilling dan re-skilling) pelajar serta tenaga kerja sedia ada.

Ia katanya, selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan tenaga mahir kepada 35 peratus menjelang 2020, berbanding hanya pada kadar 28 peratus sekarang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan telah mencadangkan kepada Jabatan Tenaga Manusia (JTM) supaya membuka pusat latihan kemahiran di institusi TVET dari jam 5.30 petang hingga 11 malam, bukan pada waktu kerja biasa dari 8 pagi hingga 5 petang.

“Ini bagi memenuhi keperluan melatih tenaga kerja sedia ada. Dan jika ia berjaya dilaksanakan, ia mampu meningkatkan gaji sedia ada sebanyak 10 hingga 20 peratus,” jelasnya.

Terdahulu, Kula Segaran ditanya berhubung isu gaji minimum, sama ada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat memberi jaminan ia akan ditingkatkan kepada RM1,500 seperti yang dijanjikan manifesto PH semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Mengulas perkara itu, Kula Segaran berkata, isu peningkatan gaji minimum perlu diperhalusi supaya majikan dan pekerja mendapat situasi menang-menang.

Sumber: http://www.astroawani.com

Komen: Betul ke formula penajaan pelajar mendapat pengajian luar negara boleh digunapakai pihak majikan untuk mengikat pekerja mereka? Pada pendapat min, pelajar kerja dengan kerajaan sebab anggap ia pekerjaan yang stabil tapi di pihak swasta, pekerja masih cenderung berkhidmat di syarikat lain bila dapat tawaran yang lebih baik setelah mereka dilatih/dipersijilkan.
Min berpendapat formula pakej penggajian yang lebih baik adalah strategi yang paling baik supaya pekerja tak tinggalkan syarikat sedia ada & kerja di syarikat lain setelah mendapat latihan/persijilan baru. Tapi, ini pula menyebabkan majikan berfikir, mengapa pula nak belanja dua kali?
Pertama, kos yuran latihan, kedua, kena tambah gaji pula lepas tu. Sekiranya produktiviti pekerja meningkat jauh melebihi kedua-dua kos ni, berbaloilah tapi min rasa kebiasaannya tidak.
Apa pendapat anda pula?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *