Gaji minimum graduan TVET dicadang dinaikkan kepada RM3,500

Gaji minimum graduan TVET dicadang dinaikkan kepada RM3,500

Ahmad Zahid mencadangkan gaji minimum bagi tenaga kerja mahir lepasan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dinaikkan daripada RM1,200 kepada sekurang-kurangnya RM3,500.

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan gaji minimum bagi tenaga kerja mahir lepasan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dinaikkan daripada RM1,200 kepada sekurang-kurangnya RM3,500.

Langkah itu jelasnya, bagi menyelaraskan gaji minimum pekerja mahir dari luar negara yang kini memperoleh gaji minimum lebih daripada angka berkenaan.

“Kalau kita lihat kini pekerja mahir yang mendapat kelulusan khas expatriate oleh Imigresen Malaysia mesti mempunyai gaji minima RM3,500. Jadi kita kena samakan (gaji pekerja mahir tempatan) dengan pekerja mahir luar sekurang-kurangnya RM3,500.

“Tentunya kita mesti menaikkan kadar gaji minima pekerja mahir ini menyamai sekurang-kurangnya seperti pekerja expatriate luar negara,”katanya dalam sidang media selepas melancarkan Ekspo  TVET Malaysia 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga mencadangkan Majlis TVET Msia diwujudkan seperti mana yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk  memperlihatkan keprihathinan kerajaan dasar program berkenaan.

Sehubungan itu satu kertas memorandum mengenai Majlis TVET Malaysia akan disediakan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot sebelum dibentangkan di peringkat kabinet.

“Jika dipersetujui jemaah menteri, saya akan mempengerusikan Majlis TVET Malaysia, bukan sahaja koordinasi, tetapi juga pengiktirafan oleh sebuah badan khusus dapat dilakukan bagi membolehkan kebolehpasaran guna tenaga yang tidak diselaras,” ujarnya.

Tambahnya, Malaysia mensasarkan gaji minima tenaga kerja mahir lepasan TVET akan mencapai RM5,000 pada tahun 2030.

“Ini menggalakkan lebih ramai guna tenaga masuk ke bidang TVET ini. Saya juga mencadangkan selain kemahiran yang akan diperoleh melalui kursus , mereka perlu diberi peluang untuk dapat diploma dan ijazah supaya kombinasi ini akan membolehkan mereka berada di tahap yang sepatutnya” kata beliau lagi.

Ahmad Zahid juga menegaskan TVET bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya menjadi pilihan pertama.

Ketika ini katanya, guna tenaga mahir Malaysia mencatatkan 28 peratus dan Malaysia mensasarkan untuk mencapai 43 peratus tenaga kerja mahir apabila negara mencapai status negara maju.

Sumber: http://www.astroawani.com

Komen: Timbalan Menteri kita ni pandai, bukan syiok sendiri, tapi nak anak-anak muda kita syiok sendiri (kan PRU dah dekat?). Kalau saya tak salah mentafsir kenyataan beliau, gaji minima bermaksud graduan yang masih mentah pun mula dengan RM3,500?
Tanyalah pengurus sumber manusia, majikan dan rata-ratanya orang ramai yang sudah jejak dunia pekerjaan, adakah kebanyakan graduan kini, tak kira kemahiran ke akademik, layak?
Kelemahan bahasa, komunikasi, sikap dsbgnya menjadi punca saya kata kebanyakannya tidak layak. Ini kerana produktiviti mereka tidak akan setimpal dengan gaji minima yang akan dibayar (jika RM3,500).
Tidak boleh dinafikan ada segolongan kecil graduan yang layak namun saya rasa ia adalah minoriti.

Apa pula kata anda?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *