Tag Archives: Air-Conditioner Certified Technician (ACCT)

Daikin lahir 3,000 juruteknik

SUNGAI BULOH: Daikin Malaysia Sdn Bhd (Daikin Malaysia) menyasarkan untuk melatih seramai 3,000 juruteknik melalui pelaksanaan program pembangunan sumber manusianya iaitu Air-Conditioner Certified Technician (ACCT) menjelang 2020.

Program yang dijalinkan melalui kerjasama Jabatan Tenaga Manusia (JTM) itu bertujuan bagi meningkatkan kemahiran dan kecekapan juruteknik dalam industri penyejukbekuan dan penyaman udara.

Ketua Pegawai Operasi Daikin Malaysia, Ooi Cheng Suan berkata, pelaburan terhadap sumber manusia adalah penting bagi syarikat di samping pelaburan terhadap kemudahan dan fasiliti tempat latihan.

Menurutnya, Daikin Malaysia mengamalkan falsafah Pengurusan Individu Berpusat (PCM) iaitu satu prinsip kepimpinan yang mempercayai kumulatif pembangunan setiap individu dalam sesebuah syarikat adalah asas kepada pembangunan bagi syarikat terbabit.

“Kami percaya usaha untuk memperkenalkan program ini adalah wajar bagi menaik taraf kualiti servis dalam industri terutama untuk pengguna jenama Daikin,” katanya pada majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan JTM di sini, semalam.

Hadir sama adalah Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Anuar, Ketua Pengarah JTM, Sutekno Ahmad Belon dan Ketua Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Bhd (PSMB), Elanjelian Venugopal.

Selain MoA, Daikin Malaysia turut menandatangani memorandum persefahaman dengan JTM dan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (PSMB) bagi menyediakan yuran penyertaan program yang berjumlah hanya RM190 berbanding RM900 jumlah yuran asal berikutan pemberian subsidi yang diberikan kepada bakal pelatih.

Program yang menyediakan kursus pemasangan penyaman udara secara teori dan praktikal itu akan diadakan selama tiga hari membabitkan dua hari teori dan sehari (ujian) di Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) seluruh negara.

Sumber: www.hmetro.com.my

Komen: Kerjasama industri & pusat latihan awam sebegini memang patut dipuji, digalakkan & dijadikan contoh kepada industri/syarikat swasta yang lain. Dalam penyediaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK 12), kumpulan fokus TVET juga berpendapat latihan praktikal/industri yang diterajui oleh industri atau bertempat di kilang/premis industri adalah amat penting dan lebih berhasil berbanding dengan latihan sekadar di institusi latihan sahaja.