Tag Archives: Industri 4.0′

UTeM tawar bidang HVAC bermula tahun ini

UTeM tawar bidang HVAC bermula tahun ini

Program tersebut berkonsepkan tiga tahun pengajian di kampus dan satu tahun latihan industri. – Gambar hiasan

MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan menawarkan pengajian peringkat Sarjana Muda dalam bidang Penyejukan dan Sistem Penyaman Udara (HVAC), bermula tahun ini.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM Prof Datuk Dr Mohd Razali Muhamad berkata program berkonsepkan tiga tahun pengajian di kampus dan satu tahun latihan industri itu bertujuan memberi lebih pendedahan dan pengalaman menempuh alam pekerjaan agar mereka lebih berdaya saing dalam memenuhi kehendak industri.

Beliau berkata inisiatif itu bertepatan dengan aspirasi Kementerian Pendidikan iaitu gabungan program pengajian di universiti dan latihan industri jangka panjang dengan pihak industri.

“UTeM turut menjalin kerjasama strategik dengan pihak industri dalam sektor HVAC, Prihoda Malaysia Sdn Bhd bagi memudahkan proses penempatan penuntut bidang berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Razali berkata tiga syarikat dari sektor sama turut menyatakan hasrat bagi menjayakan program ini iaitu LTC Building Services Sdn Bhd di Seri Kembangan, Expertise: HVAC Services and Maintenance serta ACSON Malaysia Sales and Service Sdn Bhd.

Beliau berkata UTeM terus komited bagi menjana graduan berkompetensi tinggi dan memberi impak besar kepada sektor perindustrian di dalam dan luar negara dengan melaksanakan pelbagai strategi bersepadu.

Sementara itu, Pengarah Prihoda Malaysia Sdn Bhd Lee Wee Pin menzahirkan rasa gembira dan yakin akan membina hubungan baik dengan UTeM menerusi kerjasama tersebut.

“Program ini turut memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak yang mana industri memerlukan idea baharu daripada institusi pengajian tinggi bagi menambah baik lagi sistem sedia ada ke arah revolusi industri 4.0, manakala penuntut pula mempunyai tempat untuk menjalani latihan industri dalam tempoh yang lama,” katanya.

Sumber: BERNAMA

TVET pilihan pertama dalam masa 5 tahun

DR Maszlee Malik ketika berucap di majlis makan malam dan Forum Pakar TVET Asia 2018 di Putrajaya. – Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan komited untuk menjadikan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai pilihan pertama pelajar untuk menyambung pengajian dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata bagi mencapai sasaran itu, beliau mahu semua pihak berkepentingan dalam bidang pendidikan dan industri untuk bekerjasama memperkasa TVET.

“Ini adalah janji saya untuk tempoh lima tahun, marilah kita bersama meningkatkan TVET, terutama melalui perkongsian amalan terbaik dan kerjasama,” katanya.

Maszlee berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Forum Pakar TVET Asia (ATEF) 2018 dengan tema ‘Pelaksanaan Menyeluruh TVET Untuk Revolusi Industri 4.0’ anjuran Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, malam ini. Yang turut hadir, Naib Canselor UTHM, Prof Dr Wahid Razzaly.

Maszlee berkata, kerjasama antara pihak swasta dan institusi pendidikan akan membantu melonjakkan kualiti graduan TVET, sekali gus memperkasa generasi masa depan.

“Kita tidak boleh lagi memilih dan bergantung kepada hanya beberapa sektor untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Matlamat kita adalah untuk memastikan graduan TVET bangga dengan kepakaran serta kemahiran mereka yang sentiasa mendapat tempat dalam pasaran dan bukan lagi bidang kelas kedua,” katanya.

Selain itu, Maszlee juga mahu forum berkenaan menjadi pentas untuk membincangkan usaha memperkasa tadbir urus TVET, meningkatkan kualiti dan penyampaian program TVET, mempromosi kecekapan kos dan menambah dana serta menambah baik jenama TVET bagi menarik minat lebih ramai pelajar.

Seramai 73 pakar dan pengamal TVET dari negara Asia menyertai forum berkenaan yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Sumber: https://www.bharian.com.my