Tag Archives: JTM

Daikin lahir 3,000 juruteknik

SUNGAI BULOH: Daikin Malaysia Sdn Bhd (Daikin Malaysia) menyasarkan untuk melatih seramai 3,000 juruteknik melalui pelaksanaan program pembangunan sumber manusianya iaitu Air-Conditioner Certified Technician (ACCT) menjelang 2020.

Program yang dijalinkan melalui kerjasama Jabatan Tenaga Manusia (JTM) itu bertujuan bagi meningkatkan kemahiran dan kecekapan juruteknik dalam industri penyejukbekuan dan penyaman udara.

Ketua Pegawai Operasi Daikin Malaysia, Ooi Cheng Suan berkata, pelaburan terhadap sumber manusia adalah penting bagi syarikat di samping pelaburan terhadap kemudahan dan fasiliti tempat latihan.

Menurutnya, Daikin Malaysia mengamalkan falsafah Pengurusan Individu Berpusat (PCM) iaitu satu prinsip kepimpinan yang mempercayai kumulatif pembangunan setiap individu dalam sesebuah syarikat adalah asas kepada pembangunan bagi syarikat terbabit.

“Kami percaya usaha untuk memperkenalkan program ini adalah wajar bagi menaik taraf kualiti servis dalam industri terutama untuk pengguna jenama Daikin,” katanya pada majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan JTM di sini, semalam.

Hadir sama adalah Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Anuar, Ketua Pengarah JTM, Sutekno Ahmad Belon dan Ketua Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Bhd (PSMB), Elanjelian Venugopal.

Selain MoA, Daikin Malaysia turut menandatangani memorandum persefahaman dengan JTM dan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (PSMB) bagi menyediakan yuran penyertaan program yang berjumlah hanya RM190 berbanding RM900 jumlah yuran asal berikutan pemberian subsidi yang diberikan kepada bakal pelatih.

Program yang menyediakan kursus pemasangan penyaman udara secara teori dan praktikal itu akan diadakan selama tiga hari membabitkan dua hari teori dan sehari (ujian) di Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) seluruh negara.

Sumber: www.hmetro.com.my

Komen: Kerjasama industri & pusat latihan awam sebegini memang patut dipuji, digalakkan & dijadikan contoh kepada industri/syarikat swasta yang lain. Dalam penyediaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK 12), kumpulan fokus TVET juga berpendapat latihan praktikal/industri yang diterajui oleh industri atau bertempat di kilang/premis industri adalah amat penting dan lebih berhasil berbanding dengan latihan sekadar di institusi latihan sahaja.

Lepasan TVET digalak sambung pengajian

Lepasan TVET digalak sambung pengajian
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjadi universiti kelima yang menerima lepasan pelajar Diploma Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM).

KOTA BHARU: Lepasan diploma program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) digalakkan menyambung pengajian kemahiran ke peringkat sarjana muda yang ditawarkan universiti tempatan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar berkata pelbagai universiti tempatan kini menawarkan pengajian ijazah yang bersesuaian melalui kerjasama dengan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dalam usaha memperkasa TVET.

“Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjadi universiti kelima yang menerima lepasan pelajar Diploma Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM).

“Sebelum ini, tawaran pengajian Ijazah ini dijalankan di bawah rangkaian Universiti Teknologi Malaysia dengan gabungan empat universiti iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP),” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara UMK dan JTM di UMK Kampus Bachok di sini hari ini.

Mahfuz menyaksikan pemeteraian MoU itu yang ditandatangani Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dan Naib Canselor UMK, Prof Dr Noor Azizi Ismail.

MoU selama tiga tahun itu bermatlamat untuk membolehkan graduan diploma melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, penawaran itu antara lain memberi peluang kepada pelajar kemahiran mendapat pekerjaan yang lebih baik dengan pendapatan yang lebih tinggi.

“Kerjasama sebegini membentuk semula keyakinan ibu bapa terhadap bidang TVET, kalau dulu tidak berapa yakin dengan pendidikan bidang kemahiran, kini pelajar boleh sambung pengajian hingga ke peringkat ijazah sarjana muda.

“Cuma kita mahu graduan TVET ini mencipta peluang pekerjaan baru atau mencipta produk,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama bagi tempoh tiga tahun itu juga merangkumi kerjasama kedua-dua pihak dalam perkongsian teoritikal, teknikal dan praktikal dalam bidang teknik dan vokasional.

“Antara bidang pengajian yang jadi tumpuan kita pula di bidang pemasaran internet, sebab mahu memenuhi keperluan industri dalam menghadapi arus Gelombang Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

“TVET bukan hanya kemahiran teknikal tapi kita juga seiringkan kemahiran lain seperti sektor pertanian yang kita pertingkatkan menggunakan teknologi semasa sebab itu kita juga mahu kementerian lain seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk bawa pelaburan yang boleh mengguna pakai kemahiran yang dimilik pelajar TVET,” katanya.

Sumber: BERNAMA

KOMEN:

Sekarang dah ada  5 Universiti tempatan (IPTA) yang menerima graduan diploma TVET secara rasmi.
Namun, ramai lagi yang tidak tahu bahawa sesetengah Universiti Swasta (IPTS) juga menerima lepasan sijil/diploma TVET (tanpa atau dengan keputusan SPM yang lemah).

Sabar, akan ada pengumuman rasmi dalam masa terdekat (mungkin dalam masa sebulan dua ni), untuk memberi peluang kedua untuk anda yang berkecenderungan teknikal dan tidak menyerlah secara akademik. 

Jika anda ingin tahu tentang peluang yang ada untuk anda sambung ke Ijazah Bachelor atau Masters sebagai seorang graduan TVET, anda boleh MOHON SINI

JTM, Gamuda dan Yayasan Peneraju Jalin Kerjasama Strategik Lahir Tenaga Kerja Mahir Projek MRT

Sumber imej: The Star Online

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) — Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Gamuda Berhad dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera baru-baru ini telah menjalinkan kerjasama strategik untuk melahirkan tenaga kerja mahir projek Mass Rapid Transit (MRT).

JTM dalam satu kenyataan berkata, kerjasama strategik ini merupakan latihan industri di bawah Program JTM – Peneraju Skill Iltizam iaitu program yang menjanjikan graduan lepasan TVET daripada Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) peluang pekerjaan dalam pembinaan 11 stesen bawah tanah untuk projek MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) yang dijangka akan disiapkan menjelang tahun 2022.

“Menyedari akan kepentingan serta keperluan sumber tenaga manusia daripada kalangan warga tempatan dalam melaksanakan projek ini, JTM telah diberi mandat oleh Yayasan Peneraju melalui Program JTM – Peneraju Skill Iltizam bagi melatih bakal pekerja untuk berkhidmat dengan Gamuda Berhad dalam dalam projek MRT sebagai Tunnel Crew, Erector Operator dan Assistant Mechanic,” demikian menurut kenyataan itu.

JTM katanya telah merangka strategi yang khusus dalam melaksanakan Program JTM – Peneraju Skill Iltizam ini yang akan dilaksanakan pada tahun 2018.

Program ini akan melibatkan lima buah institusi yang terpilih iaitu Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kemaman, ADTEC Bintulu, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas, ILP Kota Samarahan dan ILP Kota Kinabalu.

Seramai 280 orang belia Malaysia disasarkan mengikuti latihan untuk tahun ini dan mereka akan menjalani latihan intensif selama tiga bulan di ILP dan ADTEC dan akan menjalani Latihan Industri (LI) yang khusus dalam bidang Tunneling selama tiga bulan di Gamuda’s Tunnelling Training Academy (TTA), Selangor.

Peserta yang berjaya tamat latihan akan diberi sijil ‘Skills Proficiency Certificate’ oleh City & Guilds, United Kingdom sebelum diserap menjadi sebahagian daripada krew pembinaan Projek MRT.

JTM berkata selain daripada menyediakan pekerja kepada Projek MRT, kerjasama strategik antara ketiga-tiga pihak ini juga membolehkan 200 orang belia tempatan mengikuti program Peneraju Skil Iltizam Industralised Building System (IBS) Production Technician di ILP Kuala Terengganu.

Sistem Binaan Berindustri (IBS) juga dikenali sebagai pembinaan pasang siap digunakan secara meluas di negara-negara maju kerana kaedah ini membolehkan komponen-komponen binaan dihasilkan di kilang dalam persekitaran terkawal dan dihantar ke tapak pembinaan untuk dipasang menjadi struktur dengan tenaga kerja yang minimum.

Teknologi IBS Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti bangunan dan kerja, mengurangkan penggunaan buruh asing di tapak projek serta mempercepatkan kerja pembinaan. Melalui program ini, peserta akan mengikuti latihan kemahiran serta LI selama 5 bulan sebelum diambil sebagai pekerja IBS di Gamuda Berhad.

Sementara itu, JTM berkata penglibatan Yayasan Peneraju di dalam kerjasama ini membolehkan peserta mengikuti program ini secara percuma, selain diberikan elaun bulanan sepanjang latihan.

Program-program TVET yang ditawarkan bukan sahaja membolehkan kemahiran spesifik kepada pekerjaan dapat dikuasai dalam tempoh yang singkat, malah ianya membolehkan mereka terlibat secara langsung dalam industri pembinaan di negara ini.

Selari dengan visi JTM iaitu menjadi organisasi peneraju dalam membangunkan tenaga kerja yang berdaya saing, Program JTM – Peneraju Skil Iltizam diharap dapat melahirkan warga tempatan yang berkemahiran serta mampu memenuhi keperluan industri pembinaan.

–BERNAMA