KUALA LUMPUR: Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di Kementerian Sumber Manusia sudah memulakan siasatan ke atas sebuah kolej swasta, dekat sini, yang didakwa memperdaya pelajarnya.
Ketua Pengarahnya, Nidzam Kamarulzaman, berkata siasatan itu susulan pendedahan BH hari ini selepas menerima aduan pelajar yang mendakwa menjadi mangsa apabila mengesyaki diperguna kolej swasta berkenaan sebagai tenaga kerja murah.
“Kita sudah mulakan siasatan, namun butirannya tidak dapat saya dedahkan. Kita tunggu laporan penuh nanti,” katanya kepada BH.
BH hari ini mendedahkan dakwaan pelajar kulinari kolej berkenaan mereka mengesyaki diperdaya dan digunakan sebagai tenaga kerja murah.
Kegiatan dikesan selepas beberapa pelajar mendakwa menjadi mangsa apabila dihantar menjalani latihan praktikal bersama pihak industri sehingga tempoh dua tahun, dengan hanya dibayar elaun RM700 sebulan.
Ditanya mengenai silibus pengajian di kolej itu, Nidzam mengakui ia mencurigakan, khususnya apabila mereka menghantar pelajar menjalani latihan praktikal bersama pihak industri sehingga dua tahun.
“Tempoh dibenarkan untuk menjalani latihan industri luar kolej ialah antara 20 hingga 30 peratus daripada keseluruhan program, manakala selebihnya diwajibkan dilakukan di dalam kolej.
“Kita percaya kegiatan ini seperti bersindiket. Mereka bertopengkan kolej yang menyediakan kursus seperti masakan, perhotelan dan kulinari, semata-mata untuk membekalkan pekerja kepada industri,” katanya.
“Semakan dilakukan mendapati hanya 25 pelajar didaftarkan kolej berkenaan sejak ditauliahkan pada 2016, sedangkan mereka sewajarnya mendaftarkan nama semua pelajar setiap kali pengambilan dilakukan.
“Adalah mencurigakan apabila pengambilan pelajar baharu dilakukan hampir setiap bulan. Jika (pelajar) tidak berdaftar dengan JPK, risikonya ialah mereka tidak akan diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) atau Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) selepas tamat latihan,” katanya.
Sumber: Berita Harian