Tag Archives: Rangkaian Univesiti Teknikal Malaysia

KOLEJ VOKASIONAL MELAHIRKAN PEKERJA BERKEMAHIRAN & MEMBINA ‘BUSINESS LEGACY’

KV Melahirkan Pekerja Berkemahiran

Keputusan Peperiksaan PT3 baru sahaja berlalu. Saya yakin dan percaya, calon calon telah berpuas hati denganhasil pencapaian mereka setelah 3 tahun berhempas pulas dalam mencari dan menghasilkan kejayaan. Tidak ketinggalan terdapat juga air mata ibu bapa yang mengalir kerana kejayaan anak anak mereka.

Sebagai seorang guru, PT3 bagi saya merupakan satu cara menghalakan pelajar ke bidang yang di minati mereka. Pentaksiran PT3 adalah berdasarkan penilaian dalaman. Ini bermaksud guru guru sendiri yang menilai calon calon ini dan dalam masa yang sama bimbingan diberi sepenuh jiwa

Adik saya merupakan pelajar cemerlang PT3 2016 di SMK TALIB KARIM, Alor Gajah, Melaka. keputusannya untuk ke KV sangat memeranjatkan saya. Pada awalnya memang saya tidak setuju dia melanjutkan pelajarnnya di KV atas beberapa perkara.

Kini beliau sedang mengikuti Program KV dalam bidang KULINARI.

Antara perkara utama yang saya tidak setuju dia ke KV ialah, Pelajar lepasan Kolej Vokasional (KV) tidak layak melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda meskipun mempunyai Diploma Vokasional Malaysia (DVM) kerana universiti awam (UA) tidak mengiktiraf diploma terbabit.

Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), iaitu

1) Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP)
2) Universti Teknikal Malaysia (UTeM)
3) Universiti Malaysia Pahang (UMP)
4) Universiti Tun Hussein onn (UTHM)

menetapkan antara syarat kelayakan untuk memasuki program ijazah sarjana muda ialah mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun graduan DVM tidak menduduki peperiksaan itu.

Ini kerana pelajar terbabit memasuki KV menggunakan keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan mengikuti kursus kemahiran itu selama empat tahun tanpa perlu menduduki SPM untuk memperoleh DVM.

Tetapi ini bukan masalah yang besar. saya percaya aliran KV ini merupakan aliran yang baru. Carta alirnya tidak sama seperti pelajar yang ambil akademik sepenuhnya seperti SPM.

===============================================
CARTA ALIR KV – IBU BAPA & CALON KV PERLU TAHU !
===============================================

Pelajar KV mempunyai perjalanan mereka tersendiri. Perjalanan mereka amat berbeza dengan pelajar akademik. Bagi saya mana mana pilihan mempunyai risiko. Jika ambil jalan SPM tapi malas belajar, apa gunanya. Betul tak ?

Persoalannya bagaimana pelajar KV ingin teruskan pengajian mereka ke peringkat seterusnya ?. Graduan Kolej Vokasional (KV) perlu memenuhi beberapa kriteria ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Antara kriteria itu ialah:

* Mempunyai pengalaman bekerja selama dua tahun untuk mendapat Sijil Program Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL), atau

* Memiliki kelayakan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) yang sudah disetarakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 3 kredit, iaitu memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Akademik: 3.33; PNGK Vokasional: 3.67; kepujian dalam Bahasa Melayu dan kompeten semua Modul Vokasional.

Selepas memperoleh keputusan itu, graduan KV perlu mendapat kelulusan khas daripada KPT sehingga akreditasi penuh program diploma diperoleh.

Maka di sini, pelajar perlu tahu perjalanan mereka dan visualkan ke mana aku selepas ini dan apa yang aku nak capai ?

Bila anda visualkan perjalanan anda, barulah anda nampak jalan dan keyakinan akan menjelma bagi mendorong diri anda menuju kejayaan.

============
KELEBIHAN KV
=============

Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya berkata, 83.1 peratus graduan KV mendapat pekerjaan mengikut bidang pilihan dalam tempoh tiga bulan selepas graduasi, sekali gus membuktikan mereka menerima pengiktirafan daripada industri.

Kementerian itu menekankan Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) bertujuan mengarusperdana pendidikan vokasional setanding dengan aliran pendidikan perdana.

Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV), Zainuren Mohd Nor, berkata kira-kira 83 peratus daripada 2,273 pelajar lepasan KV berjaya memperoleh pekerjaan dalam bidang berkaitan sebaik tamat pengajian, Disember lalu.

Katanya, data yang direkodkan oleh KV itu adalah berdasarkan pelajar kohort pertama yang sudah memperoleh Diploma Vokasional Malaysia (DVM) pada 2016.

Beliau berkata, jumlah tinggi pelajar KV yang diterima bekerja dalam tempoh dua bulan selepas tamat pengajian menunjukkan kursus ditawarkan KV memenuhi kehendak industri.

“Jumlah graduan DVM yang mendapat pekerjaan adalah lebih tinggi berbanding sasaran awal yang ditetapkan iaitu sebanyak 70 peratus bekerja, 20 peratus menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dan 10 peratus lagi menjadi usahawan.

“Bagaimanapun, data yang diperoleh menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila 83 peratus pelajar ditawarkan bekerja oleh pihak industri dan ini membuktikan kursus kemahiran di KV menepati matlamat penubuhan KV iaitu melahirkan tenaga kerja mahir,” katanya

Dengan kata lain , saya dapat ringkaskan kelebihan KV ;

1. Lebih fokuskan pelajar ke arah apa yang diminati

2. Pertingkatkan kemahiran yang ada pada pelajar sehingga capai kepada berkemahiran tinggi (pakar)

3. Kemahiran yang ditawarkan di KV merupakan permintaan TINGGI dalam pelbagai industri di Malaysia

4. Pelajar KV mudah membawa diri kerana mereka lebih praktikal

============
KESIMPULAN
============

Akhir kata sebagai seorang guru, saya dapati prog KV ini sangat bagus bagi pelajar yang ingin ke hadapan dalam dunia kemahiran dan praktikal.

Jika di zaman saya, Nilai dan kuantiti A dipandang tinggi. Tetapi bila di universiti plagiat dia lahh ‘hero’ nya. Suruh buat presentation terketar ketar. Akhirnya ilmu sebagai teori sahaja. Ijazah yang utama. janji grade.

Setelah tamat Ijazah ke hulur ke hilir bawa ijazah untuk mohon kerja. Online sana online sini mohon kerja. Bila tak dapat kerja barulah nak belajar jual burger, atau apa apa berkaitan kemahiran atau praktikal.

Tetapi tidak bidang atau program KV. program ini sangat menarik kerana menyediakan dari awal bagaimana nak teruskan kehidupan dalam dunia yang penuh pancaroba ini dan ekonomi tak menentu.

Yang pasti calon KV dan ibu ayah perlu hadam dan fahamkan perjalanan calon KV agar di pertengahan tiada penyesalan dan di akhir pengajian tiada kehampaan.

KREDIT: MOHD FADHLI BIN OTHMAN