Tag Archives: Revolusi Industri Keempat

TVET diajar semula ikut kehendak industri – PM

PUTRAJAYA: Penawaran program pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan dikaji dan dijajarkan semula mengikut kehendak industri bagi menyediakan graduan berdasarkan bidang tumpuan ekonomi mengikut wilayah atau lokaliti yang dikenal pasti dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pemangku Menteri Pendidikan berkata, selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama, TVET dijadikan sebagai antara pemboleh daya yang dapat menyumbang ke arah pembentukan negara membangun yang makmur dan inklusif.

Bagi tahun 2020, katanya Kementerian Pendidikan (KPM) dan semua kementerian penyedia TVET yang lain akan memberi penekanan terhadap pelaksanaan Peta Strategi Pemerkasaan TVET yang telah dihasilkan oleh Jawatankuasa Kabinet Pemerkasaan TVET.

Ia bagi menghasilkan graduan TVET yang seimbang, holistik dan berciri keusahawanan seterusnya menjadi pekerja berkemahiran tinggi yang menyumbang terhadap produktiviti dan pertumbuhan ekonomi negara, katanya.

“Kesemua pihak terbabit perlu memastikan wawasan TVET yang diterajui industri bagi mengurangkan permasalahan ketidaksesuaian kemahiran, kebergantungan kepada buruh asing dan akhirnya menghasilkan graduan TVET yang memenuhi keperluan industri dapat kita capai,” katanya pada majlis amanat dan aspirasi bersama warga Kementerian Pendidikan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata bagi menyediakan murid mengharungi Revolusi Industri Keempat, KPM akan memastikan peningkatan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dari pelbagai segi.

Peningkatan itu termasuklah bilangan murid yang mengambil mata pelajaran STEM, kemahiran penyampaian guru, aktiviti kolaboratif bersama pihak industri dan penglibatan ibu bapa dalam memupuk minat murid untuk mengambil STEM, katanya.

“Untuk menarik lebih ramai murid menyertai bidang STEM, mulai tahun ini, kementerian telah menyediakan lebih banyak opsyen untuk murid memilih mata pelajaran elektif di bawah pakej STEM selain sastera dan kemanusiaan,” katanya.

Dr Mahathir berkata Pelantar Pembelajaran Digital Kementerian yang dibangunkan pada 1 Julai 2019 akan terus digiat dan dimantapkan tahun ini sebagai pemangkin pengajaran dan pembelajaran digital dalam kalangan guru dan murid melalui kebolehcapaian bahan yang lebih mudah dan meluas.

“Kandungan kurikulum juga dirangka merangkumi elemen-elemen seperti Objek Rangkaian Internet (IoT), pengekodan, robotik dan data raya atau big data dalam mata pelajaran di sekolah rendah dan menengah untuk menarik minat murid dan memudahkan penguasaan ilmu yang hendak disampaikan,” katanya.

Sumber: BERNAMA