TVET pilihan pertama dalam masa 5 tahun

DR Maszlee Malik ketika berucap di majlis makan malam dan Forum Pakar TVET Asia 2018 di Putrajaya. – Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan komited untuk menjadikan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai pilihan pertama pelajar untuk menyambung pengajian dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata bagi mencapai sasaran itu, beliau mahu semua pihak berkepentingan dalam bidang pendidikan dan industri untuk bekerjasama memperkasa TVET.

“Ini adalah janji saya untuk tempoh lima tahun, marilah kita bersama meningkatkan TVET, terutama melalui perkongsian amalan terbaik dan kerjasama,” katanya.

Maszlee berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Forum Pakar TVET Asia (ATEF) 2018 dengan tema ‘Pelaksanaan Menyeluruh TVET Untuk Revolusi Industri 4.0’ anjuran Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, malam ini. Yang turut hadir, Naib Canselor UTHM, Prof Dr Wahid Razzaly.

Maszlee berkata, kerjasama antara pihak swasta dan institusi pendidikan akan membantu melonjakkan kualiti graduan TVET, sekali gus memperkasa generasi masa depan.

“Kita tidak boleh lagi memilih dan bergantung kepada hanya beberapa sektor untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Matlamat kita adalah untuk memastikan graduan TVET bangga dengan kepakaran serta kemahiran mereka yang sentiasa mendapat tempat dalam pasaran dan bukan lagi bidang kelas kedua,” katanya.

Selain itu, Maszlee juga mahu forum berkenaan menjadi pentas untuk membincangkan usaha memperkasa tadbir urus TVET, meningkatkan kualiti dan penyampaian program TVET, mempromosi kecekapan kos dan menambah dana serta menambah baik jenama TVET bagi menarik minat lebih ramai pelajar.

Seramai 73 pakar dan pengamal TVET dari negara Asia menyertai forum berkenaan yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Sumber: https://www.bharian.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *