SKM diterima industri/luar negeri?
Isu SKM diterima industri/luar negeri kerap dipersoalkan. Sebelum kita bincang pasal tu, mari kita lihat faedah Persijilan Kemahiran Malaysia.
Apakah faedah Persijilan Kemahiran Malaysia?
1. Persijilan Kemahiran memang diiktiraf oleh industri di Malaysia
Realitinya, tidak lagi semua industri tetapi pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bersama Industrial Lead Body (ILB) memang sentiasa berusaha ke arah itu.
Untuk sesetengah industri seperti bengkel servis kenderaan, Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembaikan Kenderaan Motor telah dibentangkan di Dewan Rakyat, Mac 2018 di mana antara lain bakal mewajibkan pengusaha memiliki lesen khas mengendalikan perniagaan itu.
Dalam Petronas Technical Standards (PTS), Sijil Kemahiran Malaysia welding inspection telahpun diterima dan dinyatakan dalam beberapa PTS contohnya PTS 15.12.10 – Welding Of Structural Steel.
Tetapi ada juga PTS yang belum menyatakan penerimaan JPK welding inspection secara terus, contohnya:
(a) PTS 15.12.01 – Welding for Chemical Oil & Gas Industries (hanya ASNT & ISO 9712)
(b) PTS 12.30.05 – Shop & Field Fabrication of Piping (hanya PCN/CSWIP/ AWS)
(c) PTS 15.12.04 – Welding of Pipeline (hanya menyatakan SKM untuk NDE personnel)
Kalau boleh, semua PTS dapat diseragamkan dan menyatakan penerimaan SKM welding inspection secara terus bukan hanya “term equivalent”. Ini secara tidak lansung akan mengiktiraf persijilan ni.
Begitu juga untuk sektor perkhidmatan kecantikan dan dandanan rambut, sesetengah pihak berkuasa tempatan seperti MPAJ & MPS dikatakan mensyaratkan pengusaha atau pekerjanya perlu ada Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) untuk memohon lesen premis.
Difahamkan juga sektor air akan mewajibkan sesetengah pekerja dalam bidang tertentu memiliki Sijil Kemahiran Malaysia menjelang 2020.
2. Persijilan Kemahiran Malaysia menyediakan suatu laluan kerjaya dan pembangunan diri yang menarik setanding dengan laluan kerjaya berasaskan kelayakan akademik.
Ini dah terbukti dengan kebolehpasaran graduan TVET negara melonjak lebih 90% manakala Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan pada suku pertama 2019, negara merekodkan seramai 516,600 penganggur dimana seramai 238,286 penganggur termasuk 174,327 siswazah, mendaftar sebagai pencari kerja aktif dengan JobsMalaysia di bawah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung.
3. Persijilan Kemahiran Malaysia berupaya melahirkan pekerja mahir yang terlatih dan berkelayakan untuk mempertingkatkan daya saing industri tempatan di pasaran dunia.
Ia telah terbukti bahawa Sijil Kemahiran Malaysia kita ni memang laku dan jauh lebih bernilai dari sijil-sijil lain, tak kira tempatan ke luar negeri seperti UK.
Sudah banyak kes di mana Kedutaan Negara Asing di Malaysia cuma menyokong (endorse) Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) & Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) tetapi tidak sijil-sijil kemahiran/akademik lain, walaupun ia mungkin datang dari UK, Australia atau Germany, kecuali ia adalah dari badan professional yang dikenali dunia (seperti ACCA, CIBTAC, CIDESCO, TWI dsbgnya).
Apakah kepentingan ini? Jika anda ingin bekerja dalam industri kemahiran di Dubai, Australia, China ke mana-mana di luar Malaysia, majikan dan kedutaan rata-ratanya hanya mengiktiraf SKM/DKM/DLKM. Tak percaya? Cuba pergi tanya pegawai di Kedutaan Asing ataupun Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Jadi, jelas bahawa nilai SKM/DKM/DLKM ini amat besar, cuma ramai yang masih tidak tahu menghargainya.
Jika anda masih tiada Sijil Kemahiran Malaysia tetapi ada pengalaman industri, boleh mohon secara Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT)
Sekarang anda yakin tak SKM diterima industri/luar negeri?
Sekiranya anda ada lebih info yang nak kongsi dengan admin, sila komen ya.