Tag Archives: pekerjaan 3D

Pekerjaan 3D – Sekadar Penjenamaan Semula Mencukupi?

Pekerjaan 3D
Pekerjaan 3D
Pekerjaan 3D

Pekerjaan 3D - Apa tu?

Pekerjaan 3D dalam Bahasa Inggeris bermakna kerja yang:
Dirty (kotor)
Dangerous (bahaya)
Difficult (sukar)
Ada juga yang kata Demeaning (rendahkan maruah).

Transformasi pekerjaan 3D telah disarankan sejak 2016 lagi. Namun, keingingan politik untuk mengubah perkara ini masih kekurangan lagi.

Walaupun negara mengalami situasi pengangguran yang agak teruk akibat pandemik Covid-19, namun rakyat tempatan masih tidak begitu minat dengan mengambil pekerjaan berbahaya, kotor dan sukar (3D).

Pengamal industri percaya bahawa penjenamaan semula pekerjaan ini mungkin membantu menarik rakyat  tempatan untuk kerja di sektor ini. Namun, dari kaji selidik di kumpulan Facebook TVET Malaysia dan Group SKM pula menunjukkan gaji yang setimpal/lebih tinggi dan persekitaran kerja/tempat tinggal yang lebih baik lebih dialu-alukan atau faktor penting untuk menarik mereka terlibat dalam sektor pekerjaan 3D. 

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia,  Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, pekerjaan 3D sekarang kebanyakannya dilakukan oleh pekerja asing. Ia dielakkan oleh rakyat tempatan kerana stigma dan presepsi umum negatif dari masyarakat.

Beliau percaya penjenamaan semula pekerjaan ini boleh menjadikan ia lebih menarik kepada rakyat tempatan dan pada masa yang sama, mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Pekerjaan 3D - Penjenamaan Semula

Contohnya, pemungut sampah boleh dijenamakan semula sebagai “sekutu kebersihan”, tukang kebun boleh dipanggil “sekutu landskap”, dan pemandu bas serta pengawal keselamatan boleh dikenali sebagai “kapten bas” dan “polis bantuan”.

Apa lagi nama glamour yang anda dapat fikirkan? Mari kongsi pendapat anda.

Pekerjaan 3D - Gaji Yang Setimpal

Selain penjenamaan semula, banyak faktor lain yang mungkin lebih kritikal supaya dapat menarik minat rakyat tempatan kerja.

Faktor gaji juga diakui sebagai salah satu faktor utama dan terpenting oleh Setiausaha Agung Persatuan SME Malaysia, CS Chin & Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.

Mohd Izzat memetik situasi di mana rakyat Malaysia lebih suka bekerja dalam industri kolar biru di Singapura di mana masa kerja yang panjang dan kerja yang sukar tetapi gaji boleh mencecah sehingga lima kali ganda gaji yang akan mereka terima di Malaysia.

“Seperti yang kita tahu, kos sara hidup semakin meningkat dan ia akan terus meningkat. Jika gaji kekal tidak berubah bagi kebanyakan orang, ia adalah isu untuk golongan muda. Majikan mesti mempertimbangkan untuk menaikkan gaji dan pakej keseluruhan mereka untuk terus menarik anak muda tempatan bekerja dengan mereka,” katanya.

Satu lagi contoh yang kita selalu nampak adalah penghantar makanan melalui pelbagai apps. Nama tak glamour tetapi difahamkan gaji bulanan boleh mencecah RM5,000 kalau rajin kerja. Angka ni adalah dari kaji selidik sebuat Pusat Bertauliah JPK di Melaka yang ingin menawarkan kursus Certified Production Technician yang ditaja kepada lepasan Diploma tetapi tidak menerima sambutan hangat kerana penghantar makanan yang ditemubual berkata dia lebih minat dengan kerjanya sekarang kerana gaji yang agak lumayan, berbanding dengan gaji di kilang.

Lepasan diploma bidang kejuruteraan? Ikutilah kursus ni untuk masa depan yang lebih cerah dan stabil

Bayaran gaji juga perlu dikaji semula mengikut keperluan kemahiran sesuatu bidang supaya setimpal dengan pekerjaan yang ditawarkan dan kelayakan atau kemahiran yang dimiliki.

Pada masa ini, pekerja tidak berminat untuk mendapatkan pensijilan kemahiran kerana pensijilan tersebut tidak dikaitkan dengan gaji dan mereka yang berada di bahagian bawah spektrum biasanya dibayar gaji minimum. Pembezaan gaji antara pekerja tempatan dan pekerja asing hendaklah berdasarkan kemahiran yang diperakui. Dengan kemahiran yang diperakui dan gaji yang lebih tinggi, pekerja tempatan akan tertarik untuk melaksanakan pekerjaan 3D yang dijenamakan semula.

Contohnya sekiranya anda ada kemahiran + Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3, gaji patutnya setimpal dengan kelayakan yang dimiliki. Sekurang-kurangnya ikut Panduan Gaji 2020 (untuk kemahiran yang terpilih). Namun, masih banyak majikan tidak memberikan apa-apa nilai untuk sijil berkenaan.

Dengan penetapan gaji minimum RM1,500 yang baru berkuatkuasa 1 Mei 2022 ini, dicadangkan Panduan Gaji 2020 patut dikaji semula supaya ia sesuai dengan keadaan semasa.

Pekerjaan 3D - Persekitaran Kerja

Pekerjaan 3D mempunyai waktu kerja yang panjang dan di sinilah pekerja tempatan merasakan tidak berbaloi. Mereka lebih suka mengambil pekerjaan lain. Dan pilihannya tidak kurang juga.

Kekurangan tenaga kerja tempatan untuk pekerjaan 3D juga berlaku kerana masyarakat melihat sektor 3D sebagai kotor dan berbahaya.

Faktor ini menyebabkan rakyat tempatan berkira-kira untuk bekerja dalam sektor 3D walaupun pekerjaan itu tidaklah seteruk sangkaan mereka.

Contohnya, pekerjaan memetik kelapa sawit dan menoreh getah bukanlah berbahaya sehingga boleh mendatangkan maut.

Begitu juga kerja-kerja pembinaan, perladangan dan perkilangan. Ia tidak digemari kerana keadaan tempat kerja yang tidak selesa, panas dan kotor.

Kesimpulan

Majikan haruslah sentiasa melakukan penambahbaikan serta meningkatkan tahap keselamatan bagi mengurangkan risiko kemalangan di tempat kerja. Majikan juga harus menyediakan persekitaran kerja serta tempat tinggal (sekiranya berkenaan) yang lebih selesa dan bersih supaya dapat menarik minat pekerja tempatan terlibat dengan pekerjaan 3D ini.

Usaha kerajaan dengan penubuhan Pusat Sehenti MYFutureJobs adalah satu inisiatif yang bagus. Tujuannya untuk memperkasakan kerjasama antara Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO dengan Institusi/Agensi dalam memperluaskan penyampaian perkhidmatan dalam membantu golongan pencari kerja yang memerlukan bantuan perkhidmatan pekerjaan di seluruh Malaysia untuk mendaftar dan mencari perkerjaan melalui portal MYFutureJobs disamping menyediakan program perkhidmatan pekerjaan yang komprehensif, intensif dan inklusif dengan kendalian Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO Negeri dengan bantuan pegawai/pengurus agensi berkenaan yang terlatih.

Matlamat Pusat Sehenti MYFutureJobs adalah untuk mewujudkan kerjasama antara SIP PERKESO dengan Kementerian Luar Bandar (KPLB) melalui Pusat Komuniti Desa (PKD), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia melalui Pusat Internet Komuniti (PIK), Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan lain-lain agensi bagi membantu golongan pencari kerja mendaftar dalam portal MYFutureJobs dengan menggunakan kemudahan-kemudahan yang sedia ada untuk mencari pekerjaan.