Pusat Bertauliah JPK
Pusat Bertauliah JPK bererti penyedia latihan kemahiran, samada institusi latihan atau tempat kerja (workplace) yang telah diluluskan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untk mengendali latihan kemahiran dan menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia bagi bidang dan tahap kemahiran tertentu berdasarkan NOSS.
Kategori Pusat Bertauliah JPK
Pusat Bertauliah Awam
Kod Pusat Bertauliah Awam
Ia diberi kod pentauliahan yang bermula dengan Kod K; contoh K02250
Anda boleh semak senarai Pusat Bertauliah JPK awam di sini.
Pusat Bertauliah Swasta
Kod Pusat Bertauliah Swasta
Ia diberi kod pentauliahan yang bermula dengan Kod L; contoh L02667
Satu lagi kategori adalah Industri, Kod I; contoh I01017
Program yang ditawarkan oleh Pusat Bertauliah JPK
Program-program yang ditawarkan adalah berdasarkan kepada Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) yang telah dibangunkan.
Senarai Pusat Bertauliah JPK
Sehingga 30 Sept 2021, jumlah keseluruhan Pusat Bertauliah SLaPB seluruh negara adalah sebanyak 1,233 buah pusat. Daripada jumlah tersebut 808 merupakan pusat bertauliah awam dan 425 pusat bertauliah swasta.
Pusat Bertauliah JPK di Selangor mempunyai bilangan pusat bertauliah paling banyak iaitu 216 buah pusat yang terdiri daripada 84 buah pusat awam dan 132 buat pusat swasta.
Dan cuma 2 negeri di mana Pusat Bertauliah SLaPB swasta melebihi awam, iaitu Selangor & Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
2 negeri ini juga menunjukkan jumlah penurunan Pusat Bertauliah SLaPB swasta yang banyak berbanding tahun 2017.
Namun, setelah pandemik berakhir, saya yakin 2 negeri ini juga akan menunjukkan peningkatan yang besar semula, berdasarkan permintaan peserta kursus induksi PP-PPD-PPB sejak Jun 2021.
Anda boleh mencari senarai Pusat Bertauliah JPK swasta & awam dari sini.
Namun, jika anda tak pasti macam mana nak cari ataupun cuma nak cari kursus kemahiran yang anda ingini di negeri yang anda nak, lebih mudah anda isi borang tunjuk minat kursus kemahiran di sini.
Permohonan Pusat Bertauliah JPK
Bukan seperti lesen IPTS yang dikenakan moratorium, anda masih boleh membuat permohonan pusat bertauliah secara dalam talian di www.myspike.my. Pegawai yang diberi tanggungjawab untuk membuat permohonan tersebut adalah Pengurus Pusat Bertauliah (PPB) dan juga penyelaras PB yang dilantik oleh PPB.
Kriteria Utama Pentauliahan Pusat Bertauliah JPK (Swasta)
1. Pemilikan Pusat Bertauliah JPK
Butiran – Mendaftarkan operasi perniagaannya dengan mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan di Malaysia.
Pihak Berkuasa Tempatan:
1.Suruhanjaya Syarikat Malaysia (Syarikat Sendirian Berhad/Berhad/Pendaftaran Perniagaan/Perkongsian Liabiliti Terhad).
2.Pendaftaran Perniagaan (Cap 64), Ekstrak Perniagaan & Lesen Perdagangan – Borang I (negeri Sarawak)
3.Lesen Perniagaan – Borang B (negeri Sabah)
3. Kewangan – Mempunyai Modal berbayar minimum RM 50,000.00
2. Premis Latihan
i) Memiliki premis atau menyewa mana-mana premis dengan baki tempoh sewaan tidak kurang daripada satu (1) tahun
ii) Telah mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan
iii) Bagi kelulusan Bomba atau lain-lain agensi penguatkuasa berkaitan adalah merujuk kepada bidang kemahiran tertentu yang akan dilaksanakan; (contoh: mendapat kelulusan agensi kerajaan bagi bidang berkaitan Jabatan Kesihatan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan sebagainya)
iv) Memastikan premis latihan terletak di persekitaran yang kondusif dan selamat untuk menjalankan latihan; dan
v) Penggunaan premis latihan tambahan dalam lingkungan 25 kilometer boleh dipertimbangkan dan hendaklah mendapat kelulusan JPK
3. Nama Pusat Bertauliah
Hendaklah mencerminkan sebuah institusi latihan kemahiran
TIDAK menyamai dengan nama PB lain
TIDAK BERKAIT dengan nama JPK atau BAHAGIAN di bawah JPK atau apa-apa yang berkaitan dengan JPK
TIDAK MENCERMINKAN ENTITI PERNIAGAAN atau SYARIKAT. contohnya ABC SDN BHD, XYZ BERHAD dan sebagainya
4. Kurikulum Pentauliahan
i) Laluan latihan (Training pathway);
ii) Bahan pembelajaran bertulis (Written Instruction Material) beserta Jadual Pembahagian WIM (JPW);
iii) Dokumen penilaian teori dan amali @ KA & PA;
iv) Pakej Pembelajaran Kebolehan Teras (NCS – Core Abilities) termasuk Matriks Core Abilities (Abilities vs CU/Modul program NOSS);
v) Silibus subjek tambahan bagi program DKM, DLKM dan tahap yang lebih tinggi;
vi) Pelan pelaksanan latihan yang merangkumi penilaian berterusan dan penilaian akhir (Gantt Chart); dan
vii) Jadual latihan mingguan sepanjang tempoh pelaksanaan program latihan
5. Kemudahan Fizikal
PB hendaklah menyediakan kemudahan fizikal mengikut keperluan program yang dimohon merangkumi kemudahan insfrastruktur, kemudahan kelengkapan, peralatan dan bahan latihan.
A. Infrastruktur
BILIK KULIAH
BENGKEL LATIHAN
PUSAT SUMBER LENGKAP DENGAN KEMUDAHAN INFORMATION AND COMMUNICATION TECHNOLOGY (ICT)
B. KELENGKAPAN, PERALATAN DAN BAHAN LATIHAN / TOOLS, EQUIPMENTS & MATERIALS (TEM)
PB hendaklah menyediakan kelengkapan, peralatan dan bahan latihan mengikut kehendak NOSS bagi program berkenaan di premis latihan yang hendak ditauliahkan seperti berikut:
1. Menyediakan dan memastikan KUANTITI KELENGKAPAN, PERALATAN DAN BAHAN MENCUKUPI mengikut bilangan pelatih.
TIPS: Rujuk NOSS untuk nisbah kuantiti yang diperlukan.
2. Memastikan PERALATAN BERFUNGSI dengan baik dan selamat untuk digunakan
3. Memastikan PERALATAN MEMENUHI KEPERLUAN PERLESENAN (jika berkaitan)
6. Personel Pentauliahan
PB perlu memastikan bahawa setiap personal memenuhi kelayakan yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran. Setiap personal pusat juga perlu mempunyai sijil Perakuan Pengiktirafan Kelayakan Sebagai Personel Pentauliahan (PPKSPP).
Perakuan Pengiktirafan Kelayakan Sebagai Personel Pentauliahan (PPKSPP) merupakan perakuan yang diberi kepada personel Pusat Bertauliah (PB) Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) yang bertanggungjawab dalam pengurusan latihan kemahiran, membimbing, menyelia dan menilai pelatih / perantis di PB. Ianya bertujuan melayakkan personel diperakukan secara sah sebagai personel pentauliahan di bawah Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) bagi program yang layak sahaja.