Tag Archives: kursus grafik

TVET Malaysia – Apa tu? Kumpulan sasaran, syarat dan kelebihannya

TVET Malaysia - Apakah Itu TVET?

TVET adalah singkatan bagi Technical and Vocational Education Training. TVET in Malay (BM) dikenali sebagai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional. TVET adalah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri. Ia bertujuan untuk menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang yang tertentu. Skop TVET perlu berdasarkan Standard Pekerjaan atau lazimnya Standard Kemahiran Pekerjaan Kemahiran (NOSS) yang diiktiraf, dengan penekanan kepada komponen praktikal, kemahiran psikomotor dan pendedahan kepada latihan di industri.

TVET di Malaysia bukanlah satu perkara. Cuma TVET sering disalah erti sebagai pilihan kedua dan hanya layak untuk individu yang kurang cemerlang dari segi pencapaian akademik. Sebenarnya, stigma itu sudah lapuk ditelan zaman kerana kini graduan program  TVET kian mendapat perhatian oleh majikan.

TVET di Malaysia telah diberi nafas baharu pada 27 Sept 2017 dengan majlis pelancaran (dan penjenamaan) TVET Malaysia oleh bekas Perdana Menteri, YAB Dato’s Sri Mohd Najib b Abdul Razak untuk mengubah tanggapan dan persepsi negatif ibu bapa dengan kemahiran TVET Malaysia. Stigma ini adalah biasa memandangkan ramai di antara kita yang lebih menekankan akademik dari dahulu lagi.

TVET Malaysia

Kumpulan sasaran TVET?

Secara umumnya, terdapat dua aliran TVET yang menawarkan sijil/diploma yang diiktiraf oleh MQA.

1. Lepasan SPM (lulus) berpeluang untuk melanjutkan pelajaran sama ada dalam bidang Sijil ataupun Diploma dalam program TVET yang berkemahiran tinggi. Institusi TVET Malaysia yang menawarkan aliran TVET ini adalah seperti Politeknik, Kolej Komuniti dan Kolej Vokasional.

2.
a. Bagi pelajar yang kurang kecenderungan dalam akademik tetapi lebih suka hands-on, lepasan PT3 ataupun tanpa SPM pun boleh belajar kursus kemahiran di pusat latihan kemahiran (PLK) awam ataupun swasta yang menawarkan persijilan Sijil Kemahiran Malaysia.

b. Bagi pekerja sedia ada ataupun bakal pekerja yang ingin meningkatkan kemahiran (upskilling) atau mendapat latihan semula (reskilling) boleh juga menyertai latihan TVET melalui Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) sebagai perantis. 

c. Pekerja mahir yang sudah ada pengalaman kerja dalam bidang tertentu juga boleh mohon pensijilan TVET@Sijil Kemahiran Malaysia/Diploma Kemahiran Malaysia/Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia/Penyata Pencapaian melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).

Sijil Kemahiran Malaysia - 3 cara mohon, tawar

Apakah Syarat dan Kelayakan Kemasukan Kursus TVET/kemahiran?

Anda berminat untuk mengikuti kemahiran TVET? Mari kita semak syarat-syarat kemasukan kursus TVET ini. Anda:

  • Adalah Warganegara Malaysia. Jika bukan, boleh juga berdaftar di Pusat Bertauliah Antarabangsa (program dan pusat yang ditauliahkan amat terhad)
  • Mestilah sihat tubuh badan, tiada sebarang kecacatan atau kecederaan atau sejarah penyakit atau penyakit-penyakit yang mengehadkan, membataskan dan menyukarkan pelaksanaan kerja praktikal dan amali sepanjang kursus.
  • Mestilah TIDAK RABUN WARNA/BUTA WARNA.
  • Ada kemahiran asas membaca, mengira dan menulis.
  • Bebas daripada masalah mental.
  • Berminat dengan program dipohon (AMAT PENTING untuk anda berjaya)

Masa Hadapan Graduan TVET

Sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun, graduan TVET mempunyai peluang yang menguntungkan kerana negara memerlukan ramai tenaga mahir dalam bidang industri. Kebanyakan institusi TVET pula menawarkan kemahiran yang sememangnya menjadi rebutan banyak syarikat pada hari ini. 

Kemahiran-kemahiran ini bukan sahaja memudahkan anda untuk mendapatkan pekerjaan, malah ia dapat membuka peluang kepada diri anda sendiri untuk mencipta peluang pekerjaan baru dengan kemahiran yang sedia ada. Graduan TVET juga berpeluang untuk menjadi usahawan dengan kemahiran tambahan yang sedia ada. 

Kelebihan program TVET

Apa kelebihan program TVET ini? Antara kelebihannya adalah graduan program TVET mampu menguasai pengetahuan dan kemahiran praktikal dengan lebih baik berbanding lulusan program akademik. Apabila anda menceburi program TVET ini, anda dapat meningkatkan kemahiran diri kerana anda akan didedahkan dengan keupayaan sesuatu produk dengan lebih dekat melalui eksperimen atau uji kaji.

Ia memang lebih BEST berbanding dengan laluan akademik sekiranya anda jenis yang suka hands-on. Peluang kerja juga agak tinggi berbanding graduan laluan akademik. Bukan sahaja peluang kerja tinggi tetapi untuk bidang kemahiran tertentu seperti underwater welding, gajinya agak lumayan juga. Jadi, BEST tak?

Pelbagai program kemahiran dan teknikal ditawarkan. Jadi, berikut kami kongsikan 10 program TVET* (ikut bidang pekerjaan) paling popular di Malaysia.

  1. Pemasangan dan Penyelenggaraan Elektrik – Satu & Tiga Fasa
  2. Penyediaan dan Pembuatan Makanan (Kulinari)
  3. Perkhidmatan pembaikan & servis diagnostik – kenderaan ringan
  4. Pembuatan roti/pastri
  5. Perkhidmatan terapi kecantikan / estetik
  6. Aplikasi rekabentuk grafik (digital) / rekaan grafik
  7. Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak
  8. Pentadbiran Sistem/Rangkaian Komputer
  9. Pembuatan Pakaian Wanita
  10. Pegawai Latihan Vokasional (VTO)

Masih ragu-ragu dengan pengiktirafan sijil TVET (terutamanya Sijil Kemahiran Malaysia)? Jangan risau kerana ia diiktiraf oleh agensi dan badan pengiktirafan di Malaysia seperti Malaysian Quality Accreditation (MQA), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan badan-badan profesional yang lain.